Alumni    •    Vacancy

ALUMNI “BROSIS 99” KEMBALI BERBAKTI KEPADA ALMA MATER

WhatsApp Image 2022 09 21 at 8.53.54 AMUUM ONLINE: Meskipun telah meninggalkan kampus tercinta, namun ingatan terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyatukan 85 alumni untuk kembali ke Sintok bagi memeriahkan Majlis Makan Malam Alumni Homecoming BroSis99 di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM baru-baru ini.

Kepulangan kumpulan alumni yang dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Graduan UUM 1999 atau 'BroSis99' bersempena sambutan Hari Malaysia itu turut diraikan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Dalam majlis itu, Naib Canselor menyifatkan pertemuan tersebut satu aturan Allah yang suka melihat alumni universiti ini berkasih sayang dan mengekalkan persahabatan yang dibina lebih 20 tahun itu.

"Allah ingin ingatkan kita untuk terus doakan sahabat-sahabat kita. Saya difahamkan bahawa selain pulang ke kampus untuk mengimbau kembali kenangan bersama UUM, alumni yang hadir pada majlis ini juga telah bersetuju menghulurkan sumbangan melalui Program Tautan Kasih BroSis99-UUM kepada Pusat Alumni bagi tujuan agihan kepada pelajar asnaf.

"Saya melihat perkara ini merupakan satu idea yang sangat baik daripada BroSis99 dan usaha yang mulia untuk dicontohi oleh rakan-rakan alumni lain. Saya yakin sumbangan alumni dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak dan tentunya akan membuka lagi ruang ke arah merapatkan lagi hubungan silaturahim antara alumni dengan pelajar dan meneroka peluang baharu kerjasama antara alumni dengan pusat-pusat tanggungjawab di UUM," katanya.

Sementara itu, Presiden Brosis 99, Mohammad Sazali Samjis berkata, dia dan rakan-rakan alumni lain berbesar hati dapat kembali ke UUM.

Ujarnya, dia sering dihubungi oleh alumni dari ‘batch’ lain bertanyakan tentang bagaimana mereka dapat mengendalikan persatuan ini sehingga berjaya menjadi satu-satunya persatuan alumni yang berdaftar. 

“Bagi saya, persatuan ini berjaya kerana kita sayang kawan kita. Kedua, kita sayang UUM dan kita rasa kita mahu menyumbang sedikit kepada universiti ini kembali walaupun sedikit tetapi semampu yang kita boleh.

"Saya berharap dengan pertemuan pada malam ini akan mengeratkan lagi ukhwah semua alumni dan pada masa sama kami dapat mengembalikan sesuatu kepada pihak universiti semula," katanya.

Ahli alumni BroSis99, Anom Majib turut melahirkan rasa gembira dapat datang semula ke universiti ini yang menyimpan pelbagai memori yang akan sentiasa dikenang dan diingati sampai ke akhir hayat.

Menurutnya, apabila dapat kembali ke UUM umpama dapat pulang ke kampung halaman dan berjumpa semula dengan rakan-rakan.

Malah Anom berpandangan ucapan Naib Canselor memberi banyak inspirasi kepada semua alumni dan membuatkan mereka mahu memyumbang lebih banyak kepada UUM pada masa hadapan.

Sehingga kini, BroSis99 merupakan persatuan paling banyak memberi sumbangan kepada UUM dan merupakan antara penyumbang terbanyak barangan keperluan kepada pelajar UUM semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan jumlah hampir RM25,000.

Di samping itu, BroSis99 juga bakal mencipta sejarah apabila menjadi penyumbang pertama untuk program taja naik taraf bilik inasis yang berjumlah RM9,990 bagi sebuah bilik.

Hadir sama, Pengarah Pusat Alumni UUM, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar.