Alumni    •    Vacancy

DUA BERADIK BERSAING UNTUK BERJAYA DALAM AKADEMIK

WhatsApp Image 2022 11 10 at 9.36.02 AMUUM ONLINE: Sikap suka bersaing dalam diri namun secara sihat dalam pelajaran ketika bersama-sama menuntut ilmu di Universiti Utara Malaysia (UUM) memacu kejayaan dua adik-beradik dari Tumpat, Kelantan untuk meraikan momen bersejarah mereka pada Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM yang berlangsung dari 6 hingga 10 November.

Anak kepada pasangan Abd Razak Hassan dan Asiah Muhammad iaitu Mohammad Fauzan, 25, dan Nur Fazlin, 24, masing-masing diraikan pada sesi ketiga dan ketujuh yang menerima ijazah Sarjana Muda Kaunseling dan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan purata nilai gred (GPA) 3.41 dan 3.40.

Fauzan berkata, sifat suka bersaing antara mereka berdua memang wujud terutama apabila musim peperiksaan.

Menurutnya, setiap kali habis peperiksaan pasti mereka akan saling bertanya bagaimana dengan peperiksaan masing-masing sama ada boleh menjawab soalan atau tidak dan sebagainya.

"Bila tiba waktu keputusan ujian, biasanya adik saya yang akan mula bertanya keputusan peperiksaan saya. Perbezaan GPA kami juga hanya berbeza 0.01 sahaja iaitu 3.41 dan 3.40.

"Saya melihat persaingan sihat ini boleh memotivasikan kami untuk melakukan yang terbaik antara satu sama lain," katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Berkongsi perasaan dapat bergraduasi pada tahun sama dengan adiknya itu, Fauzan berkata, dia berasa sangat bahagia dapat meraikan detik bersejarah itu bersama-sama memandangkan mereka hanya dua beradik sahaja dalam keluarga.

Katanya, dia bersyukur ke hadrat Allah kerana dapat menggembirakan kedua ibu bapa mereka dengan pencapaian tersebut.

Bagi Nur Fazlin pula, dia sangat gembira apabila dapat menghadiri majlis konvokesyen bersama abangnya meskipun berlainan sesi, namun yang penting mereka dapat memberikan hadiah teristimewa kepada ibu bapa.

Menurutnya, majlis itu adalah satu anugerah buat orang tua kerana dapat melihat mereka tersenyum riang dan jelas di wajah mereka rasa bahagia itu apabila melihat dia da abangnya menaiki pentas menerima ijazah masing-masing.

"Cara kami belajar dan bersaing terutama menjelang hari peperiksaan menjadi motivasi kepada diri saya untuk memastikan saya tidak mengecewakan kedua ibu bapa yang meletakkan harapan untuk melihat kami berdua berjaya dalam pelajaran.

"Saya bersyukur dapat belajar di universiti yang sama dengan abang walaupun berbeza program pengajian tetapi tempoh belajar kami adalah sama selama empat tahun. Jadi kami mengambil peluang itu untuk melakukan yang terbaik demi membahagiakan orang tua," katanya yang kini bekerja sambilan di pasar raya.

Kegembiraan dua beradik itu turut dikongsikan bersama Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah yang berkesempatan beramah mesra bersama mereka dan kedua ibu bapa di luar Dewan Mu'adzam Shah.