Alumni    •    Vacancy

HARGAI PENGORBANAN AYAH IBU

L HARGAIUUM ONLINE: Pendidikan itu masa depan dan tidak ada masa depan tanpa ilmu, di sinilah kesungguhan ibu ayah yang mengusahakan tanpa berputus asa dan tidak menghiraukan penat lelah demi masa depan anak-anak yang berjaya.     

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyeru graduan supaya menghargai ibu ayah yang telah banyak berkorban ketika membesarkan kita dan membalas segala jasa di sepanjang hayat mereka.

“Ibu ayah adalah segala-galanya berkorban untuk kita hingga hujung nyawa. Jadikan hari ini cukup mengembirakan mereka begitu juga para pendidik yang mengajar kita mengenal huruf dan angka sehingga berjaya.

“Syabas dan tahniah kepada kesemua graduan yang bakal menerima ijazah pada   hari ini. Sekalung penghargaan daripada pihak saya yang mewakili keseluruhan warga UUM kepada semua ibu bapa, waris, serta ahli keluarga yang hadir,” katanya.

Ujarnya, UUM telah menyediakan pendidikan tinggi melalui peluang, kepakaran dan kemahiran terbaik untuk graduan  serta mendoakan agar graduan beroleh kejayaan dalam menempuhi alam pekerjaan nanti.     

Selain itu beliau turut bercerita kisah Kolonel Sanders, orang yang mengasaskan Kentucky Fried Chicken (KFC) sehingga dikenali seantero dunia.

“Kehilangan ayah pada usia muda, memaksanya memasak dan menjaga adik-adiknya apabila ibunya keluar bekerja untuk menyara keluarga dan  mahir memasak di usia 7 tahun,” katanya.

Namun, hidupnya sentiasa diuji dengan cabaran demi cabaran dan terpaksa berhenti sekolah dan pelbagai pekerjaan yang dilakukan namun sentiasa gagal sehingga isteri dan anaknya meninggalkannya. 

“Sikapnya yang sentiasa positif  melihat segala kegagalan sebagai pendorong untuk mengejar kejayaan dengan berniaga ayam goreng,  kini KFC telah mempunyai ribuan cawangan di 145 negara!

“Pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini ialah kegigihan dan sikap tidak berputus asa perlu sentiasa menjadi sebahagian daripada diri kita dan kegagalan hari ini tidak bermakna akan gagal selama-lamanya,” ucapnya pada Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Sesi 8 ini meraikan seramai 658 graduan dari Pusat Pengajian Kerajaan, Pusat Pengajian Undang-undang dan juga Pusat Pengajian Antarabangsa. Mereka terdiri daripada graduan program Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan; Undang-undang, Pentadbiran Perniagaan, Pengurusan Awam, Pengurusan Pembangunan, Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dan Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa.