Alumni    •    Vacancy

OKU SEJAK REMAJA, TIDAK PATAH SEMANGAT TERUS BELAJAR

graduan okuUUM ONLINE: Usianya baru 16 tahun ketika didiagnosis menghidap penyakit Reptinitis Pigmentosa (RP) yang menjejaskan penglihatan Muhammad Nasrun Fadhli Norsalim, 25, graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial.

Namun, ia tidak mematahkan semangat anak kepada pasangan Norsalim Husin, 61, dan Fatimah Saleh, 62, untuk meneruskan pengajian hingga ke menara gading, seterusnya menamatkan pengajian di universiti ini dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.49.

Muhammad Nasrun berkata, penyakitnya itu menyebabkan tahap penglihatan dia terbatas mengikut keadaan persekitaran tertentu.

“Walaupun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU), saya tidak mengambil kesempatan di atas status tersebut untuk membiarkan diri saya ketinggalan dari menjadi orang berjaya.

“Sepanjang bergelar pelajar universiti, saya akan memastikan sentiasa belajar secara berkumpulan bagi semua subjek yang diambil pada setiap semester,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menurutnya, pencapaian cemerlang dalam akademik bukanlah hasil ketekunan dia seorang, sebaliknya turut dibantu dan disokong oleh pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), rakan-rakan dan tidak dilupakan doa kedua ibu bapa.

Malah, anak pemandu e-hailing dan pesara guru itu juga berterima kasih kepada pengurusan universiti yang turut menyumbang di atas kejayaan itu dengan menyediakan kemudahan yang kondusif untuk pelajar OKU sepertinya, selain menjaga keperluan dan kebajikan.

Bercerita tentang pembabitan dalam aktiviti luar kuliah, Muhammad Nasrun turut aktif dalam Pertubuhan Mahasiswa Istimewa (PERMAI) UUM yang memfokuskan kepada keperluan dan kebajikan OKU.

Terlibat aktif dalam kerja-kerja sosial itu secara tidak langsung telah melayakkan Muhammad Nasrun untuk terpilih sebagai penerima Anugerah Khas PERKESO, baru-baru ini yang disampaikan oleh Ketua Eksekutifnya, Dato’ Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Memasang impian bergelar pensyarah dalam bidang kerja sosial atau psikologi, Muhammad Nasrun berharap dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan seterusnya sehingga berjaya menggapai cita-cita itu.

Manakala bapanya, Norsalim berkata, dia sekeluarga gembira di atas kejayaan anaknya itu meskipun diri dalam kekurangan tetapi Muhammad Nasrun berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Mengakui bimbang di saat anak bongsunya itu menjejakkan kaki ke UUM, menurut Norsalim, dia berat hati untuk melepaskan anaknya walaupun mereka tinggal tidak jauh hanya di Bedong, Kedah, namun yakin atas kemampuan Muhammad Nasrun, dia dan isteri akhirnya boleh menarik nafas lega melihat anak mereka itu mampu berdikari.

"Ini adalah hadiah kepada kami suami isteri melihat kejayaan anak-anak dapat menamatkan pengajian," ujarnya.

Muhammad Nasrun menerima ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Dato' Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah pada sesi keempat, petang semalam.