Alumni    •    Vacancy

‘SKIL’ LAHIR PELAJAR MUSLIM HOLISTIK DAN BERKEPERIBADIAN MULIA

skilUUM ONLINE: Dalam usaha membentuk generasi pelajar Muslim Universiti Utara Malaysia (UUM) yang holistik dengan menanam kefahamam asas agama dalam diri, sesi pertemuan secara berkumpulan di bawah program Sijil Eksekutif Kepimpinan Islam dan Komuniti (SKIL) telah diadakan di sekitar kampus bermula minggu lalu.

Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria berkata, sesi pertemuan itu bertujuan untuk menjadi platform perbincangan kepada pelajar dan fasilitator menanam kefahaman-kefahaman asas agama dalam diri pelajar.

Menurutnya, sesi pertemuan berkala itu akan berjalan sepanjang semester bagi menggalakkan pelajar mengadakan perbincangan ilmu sesama mereka dengan bimbingan penyelaras dan pensyarah.

“Program ini merupakan cetusan idea oleh Naib Canselor sendiri di bawah rangka UUM Ad-Din dan seterusnya direncanakan oleh Pusat Islam dengan merangkumi tiga modul iaitu Kepimpinan Kendiri, Kepimpinan Keluarga dan Kepimpinan Masyarakat.

“Modul-modul tersebut dihurai dan dibincangkan di dalam kumpulan terdiri seramai kira-kira 20 hingga 30 orang di bawah kendalian seorang fasilitator terlatih dengan latar belakang akademik pengajian Islam,” katanya.

Zar Ei berharap semua pihak dapat memberikan komitmen bagi menjayakan SKIL dalam usaha untuk membentuk pelajar Muslim UUM yang cemerlang dalam akademik, akhlak, kepimpinan dan seluruh aspek kehidupan mereka.

Di bawah program SKIL, fasilitator yang merupakan pelajar senior UUM berfungsi sebagai pemudah cara dalam sesi perbincangan kumpulan yang akan mengendalikan pelajar baharu semester A221yang terlibat sebagai mentee.

Kaedah ini diaplikasikan sebagai memupuk dan melatih bakat kepimpinan muda selain keberanian dalam berkongsi ilmu kepada masyarakat.

Melalui penglibatan itu, pelajar akan mengikuti ketiga-tiga modul dalam rangka tempoh 3 semester dan menerima Sijil Eksekutif setelah berjaya mengikuti ketiga-tiga modul dengan jayanya.

Sesi pertemuan berkumpulan tersebut diadakan di Masjid Sultan Badlishah, Masjid Imam Al-Syafie dan Surau Laluan C yang mana secara tidak langsung dapat mengimarahkan lagi suasana keilmuan di masjid dan surau berkenaan.

Di samping itu, menggalakkan perkongsian sesama ahli kumpulan mengenai Rukun Iman dan Rukun Islam sebagai usaha membentuk keperibadian pelajar UUM yang berkeperibadian mulia dan holistik.