Alumni    •    Vacancy

SLCP DAN LADA METERAI PERJANJIAN KERJASAMA MARTABAT SEJARAH LANGKAWI

WhatsApp Image 2022 10 31 at 6.46.25 PMUUM ONLINE: Langkawi – Bagi memartabatkan sejarah pulau legenda di negeri Kedah, Pulau Langkawi, Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menandatangani perjanjian kerjasama (Collaboration Agreement) dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), baru-baru ini.

Kerjasama itu memfokuskan kepada projek penyelidikan penerbitan buku yang diketuai Prof. Madya Dr. Rohani Ab Ghani bersama penyelidik lain iaitu Dr. Zulhilmi Paidi, Dr. Mohd Kasri Saidon dan Dr. Siti Alwaliyah Mansor.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Dekan SLCP, Prof. Dr. Shukri Ahmad, manakala LADA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib.

Shukri berkata, susulan pemeteraian perjanjian itu juga, SLCP dan LADA menyambut baik untuk memeterai memorandum persefahaman dengan baik dan jayanya.

Menurutnya, kerjasama itu adalah satu inisiatif pelancongan di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG).

Kata beliau, ia bersesuaian dengan agenda HELANG iaitu penjenamaan semula ke atas beberapa lokasi terpilih yang melibatkan lebih 117 buah kampung yang perlu dilaksanakan.

“Sebahagian besar sejarah nama-nama tempat ini masih belum direkodkan secara rasmi dan usaha ini amat signifikan kerana nama-nama tempat itu merupakan pelengkap kepada pakej keistimewaan Langkawi sebagai destinasi pelancongan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Rohani berkata, kerjasama antara UUM dan LADA itu menyasarkan matlamat untuk memartabatkan sejarah Langkawi melalui projek penyelidikan penerbitan buku bertajuk Asal Usul Nama Tempat Di Langkawi.

“Pasukan penyelidik UUM akan mengetengahkan sejarah tempat-tempat di Langkawi yang mana maklumat sejarah mengenai Langkawi dikumpul, direkod, didokumentasi dan diterbitkan.

“Usaha ini ke arah mengangkat kisah-kisah sejarah tanah air di pulau tersebut yang sesuai dengan gelarannya sebagai pulau legenda. Usaha ini adalah seiring dengan hasrat pihak LADA dan kerajaan Kedah untuk mengembalikan kedudukan industri pelancongan di pulau ini,” katanya.