Alumni    •    Vacancy

SOC TERIMA ANUGERAH CYBERSECURITY OUTREACH PROVIDER OF THE YEAR 2022

soc csUUM ONLINE: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih anugerah berprestij ‘CyberSecurity Outreach Provider of The Year’ pada Sambutan Jubli Perak 25 Tahun CyberSecurity Malaysia Sempena Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2022 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Mohammad Mentek kepada Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan yang mengetuai kajian projek bertajuk 'National Baseline Study on the level of Cybersecurity Awareness among School Students and Parents 2021/2022'.

Suhaidi berkata, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan di atas sumbangan warga SOC dalam program advokasi awam yang membantu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, ia bermula pada September tahun lalu hingga Ogos baru-baru ini apabila pasukannya telah menjalankan Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber di seluruh Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Kata beliau, kajian itu melibatkan lebih 16,000 responden yang menyasarkan murid sekolah bantuan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang merangkumi sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan bandar dan luar bandar, sekolah jenis kebangsaan serta sekolah keperluan khas.

"Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada Naib Canselor, Penolong Naib Canselor UUM CAS, Dekan dan rakan-rakan akademia SOC yang telah memberikan sokongan dan komitmen untuk membantu dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan siber di negara ini.

"Anugerah berprestij ini merupakan pengiktirafan peringkat nasional kepada UUM khususnya warga SOC yang telah menyumbang tenaga untuk mengharumkan nama UUM di peringkat nasional," ujarnya yang turut terlibat sebagai panelis dalam menjayakan pelbagai forum kesedaran keselamatan siber anjuran CyberSecurity Malaysia.

Antaranya, Seminar Keibubapaan Siber: Ke Arah Fasih Digital, Forum Bicara Etika Siber di Konvensyen Digital Negeri Perlis dan Forum Kita Siber Dunia Digital Murid -Murid Sekolah Masa Kini di Putrajaya.

Sementara itu, Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Azham Hussain berkata, anugerah itu diberikan kepada SOC selepas berjaya menyiapkan projek perundingan yang dibiayai oleh CyberSecurity Malaysia yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan.

Menurutnya, beliau berterima kasih dan bangga di atas pencapaian pasukan tersebut yang berjaya meraih anugerah berprestij itu, sekali gus mengharumkan nama SOC dan UUM.

"SOC telah membangunkan kepakarannya dalam keselamatan siber dan mampu menyediakan perundingan dan latihan dalam bidang itu, selain kepakaran dalam analisis data, kualiti perisian dan pembangunan pintar dan digital untuk masyarakat.

"Saya berharap semua warga SOC dapat meningkatkan penglibatan dengan industri dan agensi dan mewujudkan kerjasama, terutamanya dalam mempromosikan penyelidikan berkualiti tinggi serta sentiasa bermotivasi dan berusaha ke arah mencapai misi universiti," kata beliau.

Kajian yang menerima Anugerah CyberSecurity Outreach Provider of The Year itu mengkaji tentang tahap kesedaran murid sekolah terhadap komponen keselamatan siber seperti pembuli siber, kecurian identiti dan penggodaman serta menganalisis tahap kesedaran dan langkah kawalan ibu bapa terhadap ancaman keselamatan siber.

Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2022 adalah satu pengiktirafan serta penghargaan kerajaan terhadap sumbangan organisasi global, usahawan kecil dan sederhana tempatan, profesional keselamatan siber serta individu atas sumbangan mereka terhadap bidang keselamatan siber.

Ianya juga berperanan menggalakkan inovasi dan mencetuskan pakatan strategik dalam industri ICT tempatan dan pasaran global. Anugerah ini memberi pengiktirafan sewajarnya kepada individu, organisasi, dan penyedia perkhidmatan awam yang cemerlang dan inovatif di Malaysia.

Majlis itu telah meraikan 19 penerima Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2022 sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan oleh organisasi global, usahawan kecil dan sederhana tempatan (PKS).