Alumni    •    Vacancy

TAN SRI DR. MAZLAN KONGSI PENGALAMAN LUAS

E L UUM TALK SPPUUM ONLINE: Berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pemodenan perkhidmatan awam, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff berkongsi ilmu dalam ‘UUM Talks Strategic Matters Leading Public Sector Organisations: Leadership Style Vs External Dynamics’ di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) itu berkata, kepimpinan telah wujud sejak bermulanya tamadun manusia dan dunia telah melihat bagaimana tamadun hebat yang muncul sejak zaman berzaman.

“Sultan Muhammad Al-Fateh memerintah Kerajaan Uthmaniyyah dan pada umur 21 tahun tentera yang dipimpinnya berjaya menawan Kota Constantinople setelah menggulingkan Empayar Byzantine. 

“Sebagai pemimpin ilmu mesti bertambah, perlu banyak bergaul, mempunyai personaliti yang baik, pegangan, visi yang jelas antara perkara yang mendorong untuk menjadi pemimpin yang baik sekali gus memacu pembangunan negara di masa hadapan,” katanya pada program anjuran Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar.

Ujarnya, sepanjang menceburi perkhidmatan awam lebih 30 tahun pelbagai usaha dan inisatif telah dilaksanakan untuk memperkasakan sektor ini antaranya memartabatkan institusi pendidikan tinggi negara serta melahirkan modal insan yang berkualiti.

Tegasnya, membina jaringan sangat penting kerana boleh membantu mengurus kekangan yang ada dalam struktur organisasi malangnya, ramai yang tidak menyedari hakikat ini. 

“Seorang pemimpin bila bercakap orang perhati termasuk tindak tanduknya malah apa yang pemimpin lakukan juga tertakluk kepada kod etika dan peraturan. Jangan ikut semua perkara kerana adakalanya surat salah pun kita ikut jadi gunalah pertimbangan sewajarnya.

“Kita sebagai penjawat awam memiliki pelbagai peraturan, polisi dan dasar, memandangkan kita membelanjakan wang rakyat dan tidak boleh dilakukan sesuka hati,” ucapnya.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sejarah dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Polisi Sains dari Universiti Saitama, Jepun dan Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan dari Universiti Hull, United Kingdom.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam ucapannya berkata, siri syarahan ini bagi menyediakan platform kepada pemimpin dan tokoh industri terkemuka tanah air untuk berkongsi idea, ilmu dan pengetahuan dengan warga UUM demi meningkatkan inspirasi dan motivasi warga kampus.

“Mari sama-sama kita hayati pesanan dan ilmu yang disampaikan agar dapat melakukan anjakan paradigma  dalam menjadi barisan kekuatan universiti ini dan kepimpinan masa depan negara,” ujarnya.