Alumni    •    Vacancy

TERUJA BELAJAR SELOK-BELOK BERNIAGA

2UUM ONLINE: Merancang strategi jualan, tingkat komunikasi sosial, Matematik, pembungkusan produk jualan secara kreatif dan inovatif agar dapat menarik minat pembeli. Itu antara elemen yang diterapkan dalam Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR): “Aku Hitung Aku Untung”. 

Seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai, Kulim teruja apabila didedahkan dengan selok-belok berniaga pada program anjuran Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Ketua program, Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad berkata, program yang bercirikan keusahawanan sosial ini membantu melatih penguasaan Matematik, keusahawanan, serta komunikasi sosial di kalangan pelajar. 

“Melalui program ini, pelajar diberi pendedahan untuk melaksanakan aktiviti keusahawanan, berkomunikasi di antara rakan dan pelanggan untuk mempromosikan barangan dalam urusan jual beli, serta penguasaan matematik dalam pengiraan kos dan untung rugi.

“Sambutan pelajar sangat menggalakkan berdasarkan pemerhatian semasa program dan juga maklumbalas yang diberikan sebelum dan selepas mengikuti program yang melibatkan pelajar tingkatan empat aliran perdagangan dan ekonomi,” ujarnya 

Beliau berharap pelajar dapat mempraktikkan ilmu keusahawanan yang dipelajari dalam bilik darjah serta meningkatkan komunikasi di kalangan mereka.

Sementara itu, peserta, Harinee Shanmugam berkata, menerusi aktiviti ini pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan selain dibekalkan dengan produk makanan.

“Setiap kumpulan perlu merancang pembungkusan produk jualan secara kreatif dan inovatif agar dapat menarik minat pembeli serta merancang strategi jualan.

“Kami sangat bersemangat ketika menjalankan aktiviti ini di mana setiap kumpulan berusaha untuk memastikan kumpulan mereka meraih untung dalam jualan. Menariknya keuntungan jualan diserahkan kepada setiap kumpulan untuk diagihkan   sesama ahli,” ujarnya dari kumpulan yang menjadi juara.

Tiga kumpulan dengan untung bersih paling tinggi dinobatkan sebagai pemenang di mana DL&SH Store muncul juara, diikuti naib juara, Aswad and Friends dan Cheezy Crunch Enterprise di tempat ketiga.

Manakala Tan Rou Yee berkata, aktiviti yang dijalankan menarik minat pelajar terhadap matapelajaran Matematik serta memberi pendedahan kepada pelajar menjalankan aktiviti keusahawanan selain berjaya mengubah persepsi pelajar.   

“Sebelum mengikuti program ini kami tidak tahu sangat tentang berniaga namun setelah diterangkan teknik dan strategi yang betul barulah kami tahu cara melariskan jualan sekali gus menambah pengetahuan.

“Terima kasih UUM yang menjalankan program yang sangat menarik, meningkatkan kemahiran, memberi inspirasi, menambah ilmu keusahawanan dan yang penting kami akan amal ilmu yang dipelajari,” kongsinya.