Alumni    •    Vacancy

UCF SERLAH BAKAT, POTENSI MAHASISWA

E L Program Pusat budayaUUM ONLINE: UUM Cultural Festival (UCF) 2022 memberi peluang kepada mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) menyerlahkan bakat dan potensi selain memastikan kegemilangan seni dan memperkasakan kemahiran insaniah.

Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, aktiviti yang berbentuk bukan akademik amat penting dalam mentransformasi potensi, kreativiti, bakat, inisiatif dan tanggungjawab sosial mahasiswa.

Melalui aktiviti kebudayaan, pelajar menimba pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang melibatkan pengurusan, perundingan, disiplin, komunikasi dan hubungan etnik yang memberi nilai tambah kepada diri mereka.  

“Saya percaya bahawa Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM sentiasa proaktif dan berusaha untuk menjadi Peneraju Mahasiswa Berbudaya dan terbukti apabila berjaya menganjurkan UUM Cultural Festival buat kali yang ke-11 tahun ini.

“Tahniah! Terima kasih juga kepada rakan strategik, penaja dan karyawan seni, khususnya dalam memberi inspirasi kepada PBS untuk melahirkan mahasiswa holistik melalui kegiatan kebudayaan dan kesenian,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan UUM Cultural Festival (UCF) 2022.

Bagi memperkasakan lagi agenda melahirkan mahasiswa bersifat holistik, prakarsa kreativiti sedang dilaksanakan di PBS melalui beberapa siri program pengukuhan dengan 82 program telah dijalankan dengan mengintegrasikan elemen kreativiti dan inovasi.

Seterusnya, bagi meningkatkan kesediaan kerjaya pelajar supaya mereka mampu menghadapi cabaran, lapan program disusun dengan menjurus kepada pensijilan profesional dan sijil kompetensi yang kesemua program ditawarkan pada tahun ini.

Tambahnya lagi, 25 program meningkatkan kemahiran, memperkukuh kemahiran, mempelbagai kemahiran turut dijalankan pada tahun ini dan telah dilaksanakan.

Pelbagai acara dan aktiviti dijalankan sepanjang UCF 2022 berlangsung dari 26 hingga 30 Oktober antaranya  Ekspresi Puisi, Kaligrafi Khat, Nyanyian Solo Irama Malaysia, Teater Pendek, Tarian Keluarga Malaysia, Busana Klasik dan Nasyid.

Festival yang berlangsung selama lima hari itu menobatkan INASIS INASIS MAS dan TNB sebagai Johan Keseluruhan diikuti INASIS Yayasan Al Bukhari dan Bank Muamalat sebagai Naib Johan manakala tempat ketiga oleh NASIS SME Bank.