Alumni    •    Vacancy

‘UUM BERKONGSI REZEKI’ MERAKYATKAN UNIVERSITI SANTUNI KELUARGA B40

uum kongsi rezekiUUM ONLINE: Alor Setar - Selaras dengan hasrat Naib Canselor untuk merakyatkan Universiti Utara Malaysia (UUM), Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah menyantuni golongan B40 menerusi program UUM Berkongsi Rezeki di Kampung Seberang Pumpong, dekat sini.

Program selama dua hari bermula semalam itu melibatkan 50 keluarga yang menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail.

Menurut Russayani, program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Kedah yang berlangsung sejak Jumaat lalu.

“Program ini melibatkan penduduk kampung terpilih sebagai salah satu usaha UUM mendekati komuniti dengan menyerahkan bakul makanan.

“Saya mahu semua tahu bahawa kewujudan universiti bukan sekadar menjadi gedung ilmu tetapi turut melibatkan masyarakat setempat dengan memikirkan cara universiti boleh memanfaatkan mereka,” katanya.

Tambah beliau, sebagai pendedahan, program ini turut melibatkan sukarelawan terdiri pelajar UUM agar mereka dapat melihat cara untuk membantu memartabatkan komuniti tersebut.

Di samping itu, turut diadakan program saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti yang melibatkan kira-kira 300 penduduk kampung di situ.

Sementara itu, penerima sumbangan, Jamilah Jamaludin mengucapkan terima kasih kepada UUM yang sudi turun padang untuk menyerahkan barangan keperluan tersebut.

“Bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak akan meringankan beban saya yang tidak bekerja ini dan hanya mengharapkan ihsan jiran dan keluarga terdekat.

“Saya tidak mampu bekerja ekoran faktor kesihatan yang menjejaskan pergerakan tubuh badan, jadi apabila menerima sumbangan keperluan harian ini memang saya gembira. Terima kasih UUM,” ujar ibu tunggal kepada tiga anak itu.